GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hasbi Sidek


HAJAT pekerja restoran makanan segera untuk membayar saman trafik terbantut selepas cedera terkena kipas siling yang jatuh di NS Fest di Dataran Nilai, 12.30 tengah hari ini.

Mangsa yang berusia 39 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan menerima sembilan jahitan di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berurusan di kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuka sempena karnival itu.

“Bagaimanapun, kipas siling tiba-tiba terjatuh dan terkena kepalanya, menyebabkan mangsa cedera.

“Dia diberi rawatan awal oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azrul Hisham berkata, mangsa yang menerima sembilan jahitan dilapor stabil.

Katanya, kipas berkenaan dipasang di siling khemah oleh kontraktor yang dilantik dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 4:43 PM