ABDULLAH bersama Jeanne hadir bagi menyaksikan peserta larian Legasi Run 2019 di Taman Botani Putrajaya. FOTO Bernama
ABDULLAH bersama Jeanne hadir bagi menyaksikan peserta larian Legasi Run 2019 di Taman Botani Putrajaya. FOTO Bernama
Samadi Ahmad

KIRA-KIRA 1,000 peserta menyertai larian amal Legasi Run 2019 anjuran Legasi Tun Abdullah Badawi (LEGASI) di Taman Botani, Putrajaya, hari ini.

Setiausaha Agung LEGASI, Dr Muhammad Hakimi Mohd Shafiai berkata, program julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan orang ramai termasuk anak-anak istimewa dari Bikeisable dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Menurutnya, program itu diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi sejak awal tahun bertujuan mewujudkan rasa cinta kepada alam sekitar dan merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

“Program larian ini mempunyai dua kelainan dan keistimewan iaitu bertujuan merapatakan hubungan keluarga dan mewujudkan hubungan kasih sayang bersama golongan kurang upaya (OKU),” katanya kepada media hari ini.

Program yang disertai Abdullah bersama isteri, Tun Jeanne Abdullah itu turut diiringi ahli keluarga termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin dan isteri Nori Abdullah.

Larian itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu 3 kilometer (km) dan 10 km bagi katogeri terbuka, veteran, lelaki dan wanita.

Program yang mendapat penajaan utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Media Prima Berhad itu turut ditaja Institut Jantung Negara (IJN); Kementerian Pelancong, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC); Landskap Malaysia; Tropical Rainforest Conversation and Research Centre (TRCRC) dan penuntut universiti.

Muhammad Hakimi berkata, juara katogeri 10km membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800, kedua RM600 dan ketiga RM400, manakala peserta lain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah paling istimewa pakej penerbangan ke London.

Katanya, RM5,000 turut disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) melalui Tabung Bersamamu TV3 hasil sumbangan LEGASI dan peserta larian.

“Dengan penyertaan menggalakkan ini kita bercadang menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan dan menyasarkan lebih banyak penyertaan pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 2:33 PM