Ibrahim Isa dan Mahaizura Abd Malik

BUKAN hanya pasangan Islam malah berlaku peningkatan kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam berpunca daripada terlalu sibuk melayan rakan di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung berkata, faktor perceraian terbaharu itu dikesan selain berpunca daripada masalah kewangan, campur tangan mentua dan curang.

Katanya, mengikut data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, bilangan pasangan bukan Islam yang mendaftarkan perceraian dilihat meningkat setiap tahun sejak 2014 hingga 24 Jun lalu.

“Sepanjang 2014, sebanyak 1,750 kes didaftarkan, 2015 (1,765), 2016 (1,973), 2017 (1,749), 2018 (2,016) dan sehingga 24 Jun lalu 438 kes dilaporkan dengan jumlah keseluruhan 9,691 kes perceraian.

“Ia adalah trend membimbangkan dan Kerajaan Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor bagi menangani masalah itu.

“Dengan terhasilnya Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor, kami mencadangkan setiap pasangan bukan Islam menghadiri dan mendapatkan sijil pra perkahwinan, sejajar matlamat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membentuk masyarakat sejahtera melalui perkongsian tanggungjawab strategik dan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial cekap dan berkesan,” katanya.

LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.

Menurutnya, program ini satu daripada langkah yang perlu diambil jabatan kerajaan, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kerajaan menangani masalah rumah tangga yang semakin meruncing di Malaysia.

Katanya, pelbagai pendekatan perlu diketengahkan supaya isu kekeluargaan sentiasa dititikberatkan masyarakat dalam usaha menyedarkan seluruh rakyat negeri ini keharmonian dan ketidakharmonian keluarga memainkan peranan penting serta memberi kesan kepada setiap ahli keluarga.

Isu berkaitan keluarga, katanya, adalah tanggungjawab bersama dan tidak sepatutnya dibebankan kepada kerajaan semata-mata sebaliknya setiap masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing.

“Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (2007), masyarakat dilanda pelbagai masalah seperti perceraian, penderaan kanak-kanak, pembunuhan kejam dalam keluarga, keganasan rumah tangga dan kes juvana menggambarkan sesebuah keluarga mempunyai masalah tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:35 AM