Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SEORANG wanita rentung dalam kebakaran kontena berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, mangsa dianggarkan berusia 20-an dipercayai terperangkap dalam kontena berkenaan.

Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Indera Mahkota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati kontena menjadi tempat tinggal pekerja sudah musnah 100 peratus.

“Seorang mangsa dikatakan terperangkap dalam kontena dan ditemukan dalam keadaan rentung.

“Kerja pemadaman menggunakan aliran hos 30 meter dan satu aliran salur bantu mula, api dapat dikawal jam 5.14 pagi,” katanya, hari ini.

Anuar berkata, difahamkan kontena berkeluasan enam meter persegi pernah dijadikan sebagai surau.

Katanya, seramai empat pegawai dan 24 anggota terbabit dalam operasi pemadaman.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 1:36 PM
ANGGOTA Forensik JBPM melakukan siasatan terhadap kontena yang terbakar dan mengorbankan seorang mangsa wanita. FOTO /ZULKEPLI OSMAN
ANGGOTA Forensik JBPM melakukan siasatan terhadap kontena yang terbakar dan mengorbankan seorang mangsa wanita. FOTO /ZULKEPLI OSMAN