BOMBA melakukan siasatan di lokasi. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA melakukan siasatan di lokasi. FOTO Ihsan Bomba
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


WANITA rentung dalam kebakaran kabin kontena berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Kuantan, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, mangsa dianggarkan berusia 20-an itu dipercayai terperangkap di dalam kabin berkenaan.

Katanya, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 5 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Indera Mahkota dikerahkan ke tempat kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati kabin yang menjadi tempat tinggal pekerja itu sudah musnah 100 peratus.

“Seorang mangsa dikatakan terperangkap di dalam kabin berkenaan sebelum dijumpai dalam keadaan rentung.

“Kerja pemadaman menggunakan aliran hos 30 meter dan satu aliran salur bantu mula, api dapat dikawal pada 5.14 pagi," katanya, hari ini.

Anuar berkata, difahamkan kabin berkeluasan enam meter persegi itu pernah dijadikan sebagai surau.

Katanya, seramai empat pegawai dan 24 anggota terbabit dalam operasi pemadaman berkenaan.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:40 AM