SIAK masjid didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, 2 Oktober lalu. FOTO Effendy Rashid
SIAK masjid didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, 2 Oktober lalu. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


SIAK masjid didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas tiga pertuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, 2 Oktober lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) masalah mental itu tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Norashima Khalid.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa mencabul kanak-kanak itu dengan kesemua kesalahan itu dilakukannya di masjid di Manjung, antara 11.30 pagi hingga 12 tengah hari, 2 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat dan diletakkan bawah pengawasan polis maksimum tiga tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Naidatul Athirah kemudiannya memohon mahkamah supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk pemeriksaan mental dan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh pernah menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Seri Manjung.

Norashima kemudiannya membenarkan permohonan itu dan sebutan semula kes ditetapkan 8 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 2:18 PM