ANTARA lelaki yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya KESAS. FOTO ihsan polis
ANTARA lelaki yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya KESAS. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lapan individu menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Klang, mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, hari ini.

Pegawai Turus Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Asisten Superintendan Norlatifah Samsudin berkata, risikan dilakukan di lokasi berkenaan kira-kira 11 malam tadi.

“Hasil risikan dilakukan mendapati terdapat beberapa penunggang motosikal dilihat menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya bermula dari Kilometer 19 hingga Kilometer 24.6 di lebuh raya berkenaan sebelum berpatah balik beberapa pusingan.

“Antara aksi yang dilakukan seperti ‘Superman’, memotong kenderaan awam secara ‘zig-zag’ dan ‘wheely,’” katanya ketika dihubungi di Klang, hari ini.

Norlatifah berkata, hasil pemerhatian dan pengecaman dilakukan, pihaknya menahan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 23 tahun, 1.30 hingga 2.30 pagi tadi.

“Kami turut merampas lapan motosikal ditunggang mereka membabitkan tiga Yamaha Lagenda 115; Yamaha LC 135 (3); Yamaha RXZ (1) dan Yamaha R25 (1).

“Semua suspek dan motosikal yang dirampas dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 3:32 PM