Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI yang mengelar leher doktor wanita dan menyamunnya selepas menyamar sebagai pelanggan yang mahu mendapatkan rawatan pergigian, di klinik pergigian di Petaling Jaya, direman tujuh hari, bermula hari ini.

Suspek yang berusia 27 itu ditahan jam 2 petang semalam selepas lapan hari diburu polis.

Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan suspek direman sehingga Khamis depan.

Ia bagi disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan mangsa.

“Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Sea Park dan Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sebuah apartmen di Jalan PJS 2B pada 2 petang, semalam.

“Dalam soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kejadian di sebuah klinik pergigian di Seksyen 14, Sea Park, di Petaling Jaya pada 26 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas seluar jeans dan baju suspek dalam serbuan itu dan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan dan dadah.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang doktor gigi cedera di leher akibat dikelar lelaki menyamar sebagai pesakit sebelum menyamun doktor wanita itu di klinik berkenaan.

Berita berkaitan

Penyamun kelar doktor gigi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 3:45 PM