FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

MALAYSIA menduduki tangga ke-23 daripada 60 negara dalam Out of The Shadow Index yang meneliti bagaimana negara menangani ancaman keganasan seksual terhadap kanak-kanak.

Laporan yang dijalankan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) menunjukkan di Asia Tenggara, Malaysia dengan jumlah skor 54.5 mendahului Kemboja dan Indonesia dengan skor masing-masing 53.7 dan 47.6 tetapi berada di belakang Filipina (56.7).

Laporan edisi pertama menilai empat kategori yang berbeza termasuk persekitaran, yang menyaksikan Malaysia mencatatkan 64 daripada 100, kerangka undang-undang (68), komitmen dan keupayaan kerajaan (39) dan keterlibatan industri, masyarakat madani dan media (55).

Ketua Penyelidikan dan Dasar untuk ECPAT International, Dr Mark Kavenagh berkata, Malaysia dianggap mempunyai persekitaran agak stabil dan selamat untuk kanak-kanak tetapi ada faktor khusus dan kontekstual yang memburukkan lagi keadaan untuk kanak-kanak terdedah kepada eksploitasi seksual.

“Ini termasuk norma dan nilai sosial serta tradisi memalukan dan membisu mengenai topik seks yang boleh menghalang pendidikan seksual yang berkualiti, praktikal dan membenarkan penderaan seksual tidak dilaporkan,” katanya pada majlis pelancaran laporan yang dianjurkan bersama oleh ECPAT dan End CSEC Network Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Walaupun sebagai negara Islam sederhana, Kavenagh berkata, Malaysia sudah mengambil beberapa pendekatan konservatif yang memberi kesan kepada kemajuan dalam menghalang dan memberi respons kepada penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak, sesetengahnya menyumbang kepada amalan perkahwinan kanak-kanak yang berterusan.

Oleh itu beliau berkata, negara perlu meningkatkan latihan kesedaran serta menaik taraf pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif serta sikap berdasarkan jantina terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak.

Laporan itu juga menekankan Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi terhadap kesalahan seperti pemerkosaan kanak-kanak, mendapatkan khidmat seksual daripada kanak-kanak, menggunakan kanak-kanak untuk aktiviti seksual, pemerdagangan kanak-kanak yang menyaksikan negara memperoleh skor 68.

Bagaimanapun terdapat kurangnya keyakinan terhadap usaha penguatkuasaan undang-undang dan sistem kehakiman untuk melaksanakan dan menyediakan perlindungan untuk Malaysia hanya mencatat skor 39, iaitu penunjuk terendah antara empat kategori.

Mengenai usaha industri, masyarakat sivil dan media, laporan itu memuji sektor swasta Malaysia untuk menumpukan perhatian kepada isu berkaitan eksploitasi anak dalam talian. Bagaimanapun di luar talian, mereka nampaknya tidak komited terhadap perdagangan kanak-kanak untuk tujuan seksual.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi End CSEC Network Malaysia Datuk Dr Raj Abdul Karim; Pesuruhjaya Hak Asasi Kanak-kanak SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Setiausaha Rendah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Chua Choon Hwa; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily serta Pengurus Besar Novotel Kuala Lumpur City Centre Susan Anthony.

Dalam perkembangan lain, Dr Raj berkata, terdapat kebimbangan mengenai aspek eksploitasi seksual kanak-kanak ketika musim pelancongan terutama pada Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang, sambil menambah bahawa lebih banyak kesedaran diperlukan untuk melindungi kanak-kanak.

“Ini adalah fenomena baru-baru ini yang kami maklumkan kepada orang ramai untuk mereka menyedari bahawa kami memerlukan pelancongan yang selamat dan bersih, terutama tahun depan ketika Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Pelancong yang datang mestilah benar-benar pelancong, sama ada mereka datang atas alasan profesional, perjalanan atau belajar.

“Kami mahu memupuk lebih banyak kesedaran bahawa kita perlu melindungi anak-anak ketika perjalanan dan pelancongan.

“Oleh itu kita perlu memaklumkan kepada agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan semua industri pelancongan dan pelancongan serta hotel, ” katanya.

Sementara itu, mengenai penguatkuasaan untuk memerangi eksploitasi seksual, Choo berkata, ia tidak semestinya bergantung kepada polis.

“Walaupun kita cuba menguatkuasakan dan menyiasat kesalahan itu, terdapat beberapa kekangan yang perlu kita hadapi.

“Kebanyakan kesalahan ini berkaitan dalam talian, dan kami tidak mempunyai undang-undang untuk memberi mandat kepada agensi seperti syarikat telekomunikasi dan suruhanjaya komunikasi untuk bekerjasama dengan kami.

“Kami masih perlu melalui saluran menulis secara rasmi kepada agensi ini untuk alamat tertentu, alamat IP, nombor telefon pemilik. Ia sebenarnya mengambil masa, kadang-kadang perlu menunggu sebulan atau lebih, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 1:12 AM