BARKATULLAH Mohd Bahari, 37, meneliti  Al- Quran bertulisan tangan berusia hampir 300 tahun ketika ditemui di pondok Raudhah Al-Muhibin Kampung Pantai Seberang Chenor. FOTO Roselan Ab Malek
BARKATULLAH Mohd Bahari, 37, meneliti Al- Quran bertulisan tangan berusia hampir 300 tahun ketika ditemui di pondok Raudhah Al-Muhibin Kampung Pantai Seberang Chenor. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


NASKHAH Al-Quran bertulisan tangan dianggarkan berusia kira-kira 300 tahun yang diwarisi keluarga tokoh ulama terkenal, Tok Minhat di Chenor, dekat Maran, masih disimpan dengan baik oleh pewarisnya.

Naskah Al-Quran itu kini disimpan Barkatullah Mohd Bahari, 37, yang juga tenaga pengajar Pondok Raudhah Al-Muhibin, Kampung Pantai, Seberang Chenor.

“Saya menerima Al-Quran ini daripada imam Kampung Pantai, Kamaruddin Umar, 75, yang juga waris terdekat Tok Minhat dan dia memaklumkan ia adalah peninggalan tokoh ulama berkenaan serta perlu dijaga dengan baik.

“Kalau tak silap, naskhah ini ditulis sekitar tahun 1700 dan masih dalam keadaan baik, cuma perlu dilakukan sedikit pemuliharaan bagi memastikan ia dapat bertahan untuk tempoh lebih lama,” katanya ketika ditemui di Maran, hari ini.

Barkatullah berkata, berdasarkan catatan sejarah, daerah Chenor pernah menjadi antara pusat perdagangan dan penyebaran syiar Islam terkenal menggunakan Sungai Pahang.

Katanya, naskhah Al-Quran dimilikinya itu ditulis Tok Minhat yang makamnya berada di Kampung Sawah, berhampiran Kampung Machang Gelap, dekat pekan Chenor.

“Menurut kisah lisan diceritakan turun-menurun, Tok Minhat mempelajari dan cuba menghafaz surah Al-fatihah selama 40 tahun kerana sentiasa terlupa.

“Berkat ketekunan dan kesungguhannya, akhirnya beliau berjaya menghafal surah Al fatihah, malah kemudian boleh menulis, membaca dan menghafaz 30 juzuk Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, Tok Minhat menulis sendiri Al-Quran yang dihafalnya itu dan naskhah berkenaan juga tidak terbakar ketika kediaman pewaris yang menyimpan Al-Quran itu hangus dalam kejadian kebakaran beberapa tahun lalu.

Katanya, naskhah itu juga seperti dilindungi Allah apabila terselamat dalam kejadian banjir besar melanda daerah Maran dan pekan Chenor, antara tahun 1970 dan 1971.

“Naskhah Al-Quran bertulisan tangan ini diwariskan dari satu generasi ke satu generasi dan disimpan dalam bekas khas diperbuat daripada kain baldu.

“Selain naskhah Al-Quran ini, pihak kami juga sedang giat melakukan kerja naik taraf surau lama, makam-makam lama yang mempunyai kaitan dengan sejarah Kesultanan Acheh yang banyak terdapat di sekitar kawasan Chenor, termasuk makam ‘Tuan Puteri Berdarah Putih’ di Kampung Pesagi, di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu pihak Pondok Raudhah Al-Muhibin, menjalankan kerja baik pulih al-Quran berkenaan dan kerja naik taraf tempat tinggalan sejarah di sekitar pekan Chenor boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Islam 06028010068535 atas nama Tetuan Surau Kampung Pantai, Chenor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:15 PM