Hafiz Ithnin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bertolak-ansur terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perubatan melanggar undang-undang atau menjadi doktor palsu.

KKM menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) yang mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta (KPJKS) sentiasa melaksanakan pemantauan amalan perubatan termasuk perkhidmatan estetik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, CKAPS melakukan pemantauan ke atas premis yang berdaftar di bawah Akta 586.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Bahagian 16 (Akta 586) sekiranya premis disyaki menjalankan atau menawarkan perkhidmatan yang melanggar undang-undang.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan berterusan, didenda tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan ke atas individu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan Harian Metro hari ini mengenai kegiatan juru terapi tidak bertauliah yang menawarkan khidmat suntikan zakar menggunakan bahan seperti minyak tanah dan minyak zaitun sehingga memberi kesan negatif kepada orang ramai.

Dr Noor Hisham berkata, bagi sabitan ke atas pertubuhan perbadanan atau syarikat pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan yang berterusan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Beliau berkata, sekiranya perkhidmatan berkenaan ditawarkan oleh golongan yang tidak bertauliah seperti doktor palsu, tindakan boleh diambil oleh polis mengikut Kanun Keseksaan.

“Laporan polis perlu dibuat terhadap golongan tidak bertauliah ini supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Berita berkaitan

Kemaruk saiz besar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 9:02 PM