MOHD Nazri (tiga dari kanan) menyerahkan Projek Mesra Rakyat TNB kepada Ouin di Kampung Wakaf Tapai, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHD Nazri (tiga dari kanan) menyerahkan Projek Mesra Rakyat TNB kepada Ouin di Kampung Wakaf Tapai, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENANTIAN lebih 20 tahun warga emas untuk memperoleh bantuan membaiki rumah uzur berakhir apabila menerima sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Rumah papan milik Ouin Leng Sim, 73, dari Kampung Wakaf Tapai, Marang itu dibaik pulih melalui Projek Mesra Rakyat TNB 2019 sejak Jun lalu.

Ouin berkata, kebimbangannya tinggal di rumah pusaka peninggalan mendiang suaminya, Ten Eng Chong, hilang apabila 50 peratus bahagian uzur pada kediaman itu dibaiki.

“Sebelum ini, memijak lantai di hadapan rumah pun berasa bimbang kerana sudah reput dimakan anai-anai.

“Sekarang semua masalah selesai apabila bahagian hadapan rumah uzur itu dirobohkan dan dibina baru.

“Sudah lama saya mengharapkan sumbangan untuk membaiki rumah, maklumlah kami tidak mampu untuk membaikinya sendiri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat TNB 2019 di Marang, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Terengganu Bahagian Pembahagian TNB, Mohd Nazri Puteh.

Katanya, dia bersama mendiang suami tinggal di rumah terbabit sejak 50 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu kediaman itu tidak pernah dibaiki kerana kesempitan wang.

“Justeru apabila diberitahu ia bakal dibaik pulih pada Jun lalu, saya dan dua anak sangat gembira.

“Sekarang saya tinggal di rumah itu dengan dua anak iaitu Lau Beng Sin, 56, dan Ten Hock Leng, 45. Mereka menjadi peneman saya sejak ketiadaan suami, 24 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, rumah itu antara dua kediaman menerima peruntukkan sebanyak RM50,000 melalui Projek Mesra Rakyat TNB 2019 pada tahun ini.

Beliau berkata, hanya dua rumah mendapat peruntukkan di bawah projek terbabit, manakala 10 rumah lagi di negeri ini menerima peruntukkan baik pulih melalui projek Baiti Janati TNB.

“Jumlah penerima projek Baiti Janati TNB meningkat berbanding tahun lalu dan semua penerima dipilih berdasarkan rekod penerima bantuan bulanan asnaf miskin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:32 PM