Nishka ketika dirawat di ICU sebelum dipindahkan ke HDU HUSM, Kubang Kerian pada Rabu lalu. Foto Ihsan  Khairiah Kamarudin
Nishka ketika dirawat di ICU sebelum dipindahkan ke HDU HUSM, Kubang Kerian pada Rabu lalu. Foto Ihsan Khairiah Kamarudin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“NISKHA semakin baik dan dia akan menjalani rawatan kemoterapi dalam masa dua atau tiga hari lagi mengikut keadaan kesihatannya,” kata Khairiah Kamarudin, 35, ibu kepada Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham.

Menurutnya, anaknya kini dalam keadaan stabil tetapi masih menggunakan mesin bantuan pernafasan dan ditempatkan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak dua hari lalu.

Nishka yang berusia empat bulan lebih berada di HUSM sejak empat bulan lalu selepas disahkan menghidap kanser otak (medullablastoma) tahap empat ketika berusia 21 hari.

Khairiah berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu kini boleh membuka kedua-dua mata dan kelihatan semakin baik tetapi keadaan kepalanya makin membesar.

“Anak saya makin baik apabila dapat membuka kedua-dua mata, namun saya lihat kepalanya makin besar.

“Apa-apa pun, saya berharap Nishka akan sembuh selepas menjalani rawatan kemoterapi walaupun harapannya tipis.

“Sebagai ibu, saya mahu lihat anak membesar dengan sihat kerana ramai yang sangat sayangkannya. Saya minta orang ramai terus berdoa untuk Nishka,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, sejak anaknya ditempatkan ke HDU pada Rabu lalu, dia dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, boleh melawat Nishka sekerap yang mungkin.

Katanya, ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dia dan suami hanya boleh melawat bayinya ketika waktu melawat saja.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, bayi berusia empat bulan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham disahkan menghidap kanser otak tahap empat ketika 21 hari selepas dilahirkan dan turut dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu.

Berita berkaitan

'Teruskanlah berdoa buat Nishka' [METROTV]

Ya Allah, sembuhkan Nishka [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 6:26 PM