MUHAMAD Sharip Othman (empat kanan) dan Aminuddin (dua kanan) melakukan lawatan proses pembuatan selepas pelancaran ketika Perasmian Semula Kilang Milo di Chembong. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN.
MUHAMAD Sharip Othman (empat kanan) dan Aminuddin (dua kanan) melakukan lawatan proses pembuatan selepas pelancaran ketika Perasmian Semula Kilang Milo di Chembong. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN.
Raja Noraina Raja Rahim


NESTLE Malaysia membangunkan semula kilang di Chembong yang menjadi tapak pembuatan Milo dan Pusat Kecemerlangan terbesar di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Bhd, Juan Aranols berkata, pengembangan itu membabitkan naik taraf kemudahan pembuatan dan peralatan pengeluaran lengkap yang moden.

Beliau berkata, bagi pembangunan itu, pihaknya memperuntukkan pelaburan bernilai RM90 juta yang diyakini dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing.

“Pembangunan semula kilang sebagai tapak pembuatan Milo dan Pusat Kecemerlangan itu di atas tanah seluas 17.4 hektar selari dengan komitmen meningkatkan operasi pembuatan dan menghasilkan produk halal buatan Malaysia yang berkhasiat dan berkualiti tinggi.

“Kami percaya terdapat peluang ekonomi yang luas di Malaysia. Oleh itu, kami melabur secara berterusan untuk mengembangkan perniagaan kami selama lebih 100 tahun di negara ini.

“Pelaburan di kilang sedia ada itu akan mengoptimumkan operasi pembuatan Milo dan menambah baik produktiviti menerusi automasi dan digital selain memanfaatkan ekonomi skala,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Milo Terbesar Dunia di Rembau, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Undang Luak Rembau, Dato Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Zon Asia, Oceania dan Afrika Sub Sahara Nestle SA, Chris Johnson.

Mengulas lanjut, Juan Aranols berkata, peningkatan kapasiti sebanyak 30 peratus itu akan memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat serta akan dieksport ke lebih 20 negara.

“Malaysia adalah pasaran utama bagi Nestle di seluruh dunia dan hab pembuatan utama di rantau Asia.

“Pengembangan ini menjadi bukti azam kami untuk memastikan pertumbuhan yang kukuh, menguntungkan dan mampan selaras komitmen kami untuk terus melabur di Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sejak kilang berkenaan mula beroperasi pada 1993 ia menjadi penyumbang utama ekonomi tempatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada komuniti tempatan.

Katanya, kilang berkenaan sudah memberi peluang kepada hampir 900 anak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 6:14 PM