Aizat Sharif


TIGA pekerja penurap jalan direman selama empat hari sehingga Rabu hadapan bagi membantu siasatan kes cubaan menculik remaja perempuan di Kampung Tok Kandang, di Kangar, semalam.

Perintah reman terhadap suspek lelaki yang berusia antara 24 hingga 58 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah bermula hari ini hingga 25 September ini.

Suspek yang diwakili peguam, Afida Nurizzati Abdul Lateh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Perlis dibawa ke perkarangan mahkamah sekitar 10 pagi diiringi anggota polis bertugas sebelum keluar dari kamar mahkamah 45 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew mengesahkan penahanan suspek dan siasatan berkenaan kes itu masih dijalankan.

Semalam, remaja perempuan berhadapan detik cemas apabila dia dipercayai hampir menjadi mangsa culik oleh sekumpulan lelaki di kawasan rumahnya di Kampung Tok Kandang, Kangar.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun itu sedang berada di halaman rumahnya berseorangan sebelum didatangi lelaki dipercayai suspek dengan menaiki Perodua Viva berwarna hitam.

Suspek dikatakan bertindak meluru ke arah mangsa sejurus keluar dari kereta dengan suspek menunjukkan isyarat pelik kepada mangsa.

Mangsa yang ketakutan bertindak melarikan diri ke kawasan pagar halaman rumah jirannya untuk meminta pertolongan sebelum kereta yang dinaiki mereka berlalu pergi.

Selepas suspek meninggalkan kawasan perumahan itu, mangsa yang ketakutan terus ke balai polis bagi membuat laporan perihal kejadian yang menimpanya.

Polis kemudian berjaya menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 58 tahun di Simpang Empat, Kangar ketika mereka berada di dalam kereta terbabit.

Hasil pemeriksaan air kencing ke atas ketiga suspek mendapati mereka negatif daripada pengaruh dadah, namun dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan penculikan.

Berita berkaitan

Remaja hampir jadi mangsa culik?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 1:10 PM
POLIS mengiringi tiga pekerja penurap jalan untuk dihadapkan ke Mahkamah Kangar bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes cubaan menculik seorang remaja perempuan di Kampung Tok Kandang, Kangar. FOTO Shahrizal Md Noor
POLIS mengiringi tiga pekerja penurap jalan untuk dihadapkan ke Mahkamah Kangar bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes cubaan menculik seorang remaja perempuan di Kampung Tok Kandang, Kangar. FOTO Shahrizal Md Noor