Notis pembatalan penerbangan di LTSAS, Ipoh hari ini ditampal di kaunter pertanyaan susulan jerebu melanda. Foto Muhaizan Yahya
Notis pembatalan penerbangan di LTSAS, Ipoh hari ini ditampal di kaunter pertanyaan susulan jerebu melanda. Foto Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari


ENAM penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh membabitkan 1,418 penumpang dibatalkan berikutan keadaan jerebu melanda yang semakin buruk hari ini.

Kesemua penerbangan yang dijadualkan bermula 9.45 pagi dibatalkan membabitkan pesawat Airbus 320 Flyscoot dan AirAsia serta pesawat ATR 72 dan CG 600 untuk Malindo Air.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata, keadaan jerebu lebih teruk daripada sebelum ini dengan jarak penglihatan yang terhad menyebabkan semua penerbangan yang dijadualkan pada hari ini terpaksa dibatalkan

“Jarak penglihatan berdasarkan situasi jerebu hari ini, bacaan pada awal pagi adalah 1,500 meter dan sehingga ke petang ini kita mendapat bacaan 800 meter yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan CAAM (Lembaga Penerbangan Awam Malaysia).

“Keseluruhan penerbangan bagi enam pesawat membabitkan berlepas dan mendarat hari ini terpaksa dibatalkan kerana jarak penglihatan tidak begitu baik,” katanya ketika ditemui media di LTSAS.

Mohd Ali berkata, susulan pembatalan penerbangan itu kebanyakan penumpang memilih untuk membatalkan tiket penerbangan.

“Kita menawarkan penjadualan semula penerbangan tetapi kebanyakan penumpang memilih untuk membatalkannya dan memilih untuk menggunakan pengangkutan darat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah belajar daripada pengalaman situasi sama pada 13 September lalu dan keputusan untuk membatalkan penerbangan diambil lebih awal daripada sebelum ini.

“Kita baru saja mengadakan perbincangan bersama CAAM, MetMalaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan lain bagi mencari pendekatan dan prosedur menangani isu penangguhan dan penjadualan semula penerbangan.

“Kita juga dalam proses membuka satu pusat sehenti di lapangan terbang bagi memudahkan kesemua pihak terutama penumpang yang menggunakan perkhidmatan untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan isu jerebu mengaitkan penerbangan lebih mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:32 PM