Kawasan belukar seluas 2.8 hektar di Bukit Broga, Semenyih terbakar hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Kawasan belukar seluas 2.8 hektar di Bukit Broga, Semenyih terbakar hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KAWASAN belukar seluas 2.8 hektar di Bukit Broga, Semenyih terbakar dipercayai akibat tindakan tidak bertanggungjawab pendaki yang melakukan aktiviti di lokasi itu hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, 25 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semenyih dan Bangi dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima laporan 4.39 petang.

Bagaimanapun, ketika kejadian sepasukan 10 anggotanya berada di lokasi kerana melakukan pencarian pendaki yang tersesat ketika mendaki bukit berkenaan.

“Berdasarkan maklumat, api sudah pun meliputi kira-kira dua hektar kawasan terbabit, justeru, bantuan diminta dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi untuk membendungnya dari terus merebak.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya 7.32 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak punca kebakaran adalah daripada tindakan tidak bertanggungjawab pendaki bukit terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 12:52 AM