PELAJAR Sekolah Tahfiz Tambak Bugis memakai penutup hidung dan mulut disebabkan jerebu ketika gotong-royong perdana di Kampung Bukit Punggor, Alai.  FOTO Rasul Azli Sama
PELAJAR Sekolah Tahfiz Tambak Bugis memakai penutup hidung dan mulut disebabkan jerebu ketika gotong-royong perdana di Kampung Bukit Punggor, Alai. FOTO Rasul Azli Sama
Rizanizam Abdul Hamid


CUACA jerebu tidak menghalang kira-kira 200 penduduk mengadakan program gotong-royong perdana di Kampung Bukit Punggor, Alai, Melaka, hari ini.

Pengerusi Majlis Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan, Mohd Zin Mohd Siran berkata, program bermula 8 pagi hingga 2 petang itu berjalan seperti biasa dan penduduk serta kira-kira 50 petugas daripada 11 agensi kerajaan dan swasta dibekalkan dengan penutup hidung dan mulut.

“Program ini gotong royong perdana yang dijadualbersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Noor Affandi Ahmad ini perlu diteruskan sekalipun berdepan cuaca jerebu yang semakin buruk kerana semua persiapan telah pun dibuat.

“Kita telah mengambil semua langkah keselamatan ketika jerebu dan berterima kasih kepada penduduk serta agensi terbabit kerana memberi kerjasama baik sehingga ke akhir program,”katanya ketika ditemui selepas program berkenaan, hari ini.

Bacaan kualiti udara daripada laman web Sistem Pengurusan Udara Malaysia (APIMS) sehingga jam 11 pagi ini, merekodkan bacaan sangat tidak sihat melepasi IPU 200 iaitu 220 di Stesen Bandaraya Melaka.

Stesen Alor Gajah pula merekodkan bacaan tidak sihat ada tahap IPU 161 manakala Bukit Rambai, 192.

Sementara itu, bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zaini Mohd Noor yang turut menyertai program berkenaan berkata, isu kebersihan perlu dihayati sepanjang masa dan bukan sahaja ketika program diadakan.

“Sewaktu berkhidmat dahulu, itulah yang menjadi prinsip saya supaya kebersihan ini dihayati sedalam-dalamnya sehingga ia menjadi satu budaya yang dipraktikkan epanjang masa dan bukan hanya ketika program gotong royong.

“Semua peringkat lapisan masyarakat bermula dengan penduduk hinggalah Ketua Menteri perlu memainkan peranan jangka panjang menjadikan negeri pelancongan ini sentiasa bersih bukannya pada ‘musim’ tertentu sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 12:35 PM