Balqis Jazimah Zahari


OPERASI pesawat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh yang dihentikan semalam sudah kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata, kesemua operasi penerbangan berjalan lancar dan tiada penumpang yang terkandas setakat ini.

“Operasi lapangan terbang hari ini kembali pulih dan kesemua penerbangan yang dijadualkan berjalan seperti mana biasa.

“Penerbangan yang dijadualkan semula semalam membabitkan pesawat Scoot Airlines dan AirAsia juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ali berkata, pihaknya akan sentiasa memberi maklumat daripada semasa ke semasa keadaan trafik terutama dalam keadaan cuaca jerebu ketika ini.

“Sebanyak lapan penerbangan membabitkan pesawat Airbus 320 Scoot Airlines dan AirAsia yang dijadualkan pada hari ini.

“Setakat ini, kesemua operasi dan penerbangan pesawat berjalan seperti biasa, sehingga kita mendapat maklumat daripada kawalan trafik sekiranya terdapat sebarang masalah,” katanya.

Tinjauan NSTP di lapangan terbang hari ini mendapati tiada penumpang yang terkandas dan pesawat dapat berlepas dan mendarat seperti biasa.

Semalam, dilaporkan lebih 1,000 penumpang pesawat terkandas selepas keadaan berjerebu menyukarkan operasi penerbangan di LTSAS bermula 9 pagi.

Daripada keseluruhan penumpang itu, masing-masing membabitkan 549 penumpang yang sepatutnya berlepas dari LTSAS menggunakan empat penerbangan, manakala 555 penumpang lagi yang dijadualkan mendarat.

Berita berkaitan

Penumpang terkandas akibat jerebu [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 4:48 PM
PENUMPANG beratur untuk masuk ke balai pelepasan LTSAS, Ipoh yang sudah kembali beroperasi seperti biasa hari ini selepas terjejas kerana jerebu semalam. Foto Abdullah Yusof
PENUMPANG beratur untuk masuk ke balai pelepasan LTSAS, Ipoh yang sudah kembali beroperasi seperti biasa hari ini selepas terjejas kerana jerebu semalam. Foto Abdullah Yusof