Nur Izzati Mohamad


DEMI membanggakan ahli keluarga dan memperbetulkan kesalahan yang dilakukan pada masa lalu, dua banduan nekad menyambung pengajian mereka di peringkat Sarjana.

Jep, 36, dan Ken, 34, (bukan nama sebenar) ditawarkan untuk mengikuti Sarjana MOD Penyelidikan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) di Penjara Seberang Perai, Sungai Jawi, Nibong Tebal.

Sebelum itu, kedua-dua mereka yang ditempatkan di Penjara Kajang mengikuti kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda di Open Universiti Malaysia (OUM).

Menurut Jep, dia yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor di sebuah syarikat telekomunikasi mahu menyambung pengajian demi membanggakan ahli keluarganya.

“Saya dipenjarakan sejak 2012 dan bakal keluar dalam tempoh lima bulan lagi. Maka saya perlu siapkan diri untuk menempuh perjalanan seterusnya yang mana saya lihat pendidikanlah dapat membantu.

“Syukur apabila ahli keluarga banyak menyokong termasuk tunang saya yang sedia menunggu dan berharap apa yang dilakukan ini sedikit sebanyak dapat membanggakan mereka, walaupun saya pernah bersalah atas perbuatan masa lalu,” katanya ketika ditemui ketika sesi pendaftaran, hari ini.

Katanya, dia yang akan mengikuti kursus Sarjana Sains Kemasyarakatan (Antropologi dan Sosiologi) mahu apa yang dilakukan turut menjadi contoh dan inspirasi terhadap banduan lain.

Sementara itu, bagi Ken, yang akan mengikuti kursus Sarjana Sastera (Pengurusan) pula mahu memperbetulkan kesalahan masa lampaunya dengan belajar supaya dapat memulihkan tahap keyakinannya yang sudah hilang, seterusnya menyumbang semula kepada masyarakat.

“Apa yang saya lakukan ini juga adalah mahu memberitahu kepada semua orang bahawa kami pesalah juga mahu berubah dan boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Tambahan pula, masa di penjara juga terlalu banyak dan ia boleh diisi dengan menimba ilmu kemudian mempersiapkan diri untuk berdepan dengan dunia luar sebaik sahaja saya keluar pada 2021 nanti,” katanya.

Difahamkan, Jep dipenjarakan atas kesalahan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol, manakala Ken dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh tanpa niat.

Kedua-dua mereka kemudian menjadi sahabat baik dan saling memberi motivasi antara satu sama lain bagi memperbetulkan diri sehingga mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Komisioner Penjara Seberang Perai, Hussin Johari berkata, pihaknya berterima kasih kepada USM yang menawarkan tempat kepada kedua-dua banduan di penjara terbabit untuk mengikuti kursus Sarjana.

“Ini kali pertama Penjara Seberang Perai mempunyai dua banduan yang sedang menyambung pengajian.

“Kita mengalu-alukan program seperti ini dan menyediakan kemudahan kelas yang dilengkapi internet untuk membolehkan kedua-dua mereka mencari bahan yang diperlukan bagi memenuhi tugasan dalam kursus mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Madya Dr Tay Guan Seng berkata, pihaknya sebelum ini tidak mengetahui bahawa pelajar yang memohon untuk menyambung pengajian di institut terkemuka itu terdiri daripada dua pesalah yang kini menerima hukuman di penjara.

“Bagaimanapun, bagi kita kedua-dua mereka adalah sama seperti pelajar biasa yang lain tanpa ada sebarang perbezaan yang mana mereka masuk atas kelayakan akademik yang diperoleh.

“Dari segi pengajian, pihak USM akan mengikuti prosedur yang ditetapkan pihak penjara dan menyediakan apa yang diperlukan bagi memudahkan kedua-dua mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:59 PM
JEP (duduk dua dari kanan) dan Ken (duduk kanan) mendengar penerangan Dr Tay (duduk kiri) sambil diperhatikan Husin (duduk dua dari kiri) semasa sesi pendaftaran pelajar baharu program Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan USM. FOTO Danial Saad
JEP (duduk dua dari kanan) dan Ken (duduk kanan) mendengar penerangan Dr Tay (duduk kiri) sambil diperhatikan Husin (duduk dua dari kiri) semasa sesi pendaftaran pelajar baharu program Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan USM. FOTO Danial Saad