MAYAT mangsa. FOTO Ihsan APMM
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan APMM
Siraj Mohd Zaini


SEORANG daripada dua nelayan yang hilang selepas bot dinaiki dilanggar sebuah kapal dagang kelmarin, ditemui lemas, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat mangsa, Chua Keng Choon, 32, ditemui kira-kira 14.2 batu nautika dari Pulau Carey, kira-kira 10 pagi.

Menurutnya, mayat ditemui oleh nelayan yang memancing di sekitar kawasan berkenaan.

“Sebaik menerima maklumat berkenaan, Kapal Maritim (KM) Danga membawa keluar mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada bomba untuk dibawa ke Jeti Nelayan Tongkah, di Kuala Langat.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, operasi masih diteruskan untuk mengesan seorang lagi awak-awak warga Myanmar yang turut hilang selepas dipercayai tercampak ke laut, dalam kejadian sama.

Dalam kejadian kelmarin, dua nelayan terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki dilanggar sebuah kapal dagang, pada jarak 8.3 batu nautika dari selatan Pulau Carey.

Ketika kejadian, bot nelayan kelas C itu dinaiki seorang tekong warga tempatan dan tiga awak-awak warga Myanmar sedang menangkap ikan di perairan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 3:00 PM