SITI ZAINON. FOTO Arkib NSTP
SITI ZAINON. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


PEMILIHAN Anugerah Sastera Negara Ke-14 adalah mengikut merit serta diiktiraf oleh penggiat sastera.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pemilihan pengkaji seni budaya, Prof Dr Siti Zainon Ismail itu disebabkan beliau bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Perkara ini biasa (tidak puas hati) kerana kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Sebab yang menang anugerah ini cuma seorang, jadi bila seorang lagi tidak dapat sudah tentu ia akan timbulnya ketidakpuasan hati.

“Kita berbangga kerana mempunyai seorang sasterawan yang bukan sekadar sasterawan tetapi juga budayawan dan seorang pelukis,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan hari pertama Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR) 2019 Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Tokoh Sasterawan Perak, Dr Malim Ghozali yang mempertikaikan mengenai pemilihan Siti Zainon.

Dakwanya, pemilihan penerima anugerah itu sudah dibuat oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dengan ‘secara sebulat suara’ kira-kira enam bulan lalu iaitu pada 28 Mac.

Kementerian Pendidikan semalam mengumumkan Zainon sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Berita berkaitan

Dr Siti Zainon penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:01 AM