Aidi (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas kelmarin. FOTO Ghazali Kori
Aidi (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas kelmarin. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR tidak sempat mengaut keuntungan menjual 60,000 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM600,000 selepas dicekup dalam serbuan di Kampung Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu kelmarin.

Lelaki berusia 34 tahun dan masih bujang itu ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu pada 7.30 malam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, serbuan dijalankan pihaknya hasil risikan dan maklumat sejak sebulan lalu dengan suspek dipercayai menyimpan bekalan itu di rumahnya sebelum Aidiladha baru-baru ini.

Beliau berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal memandangkan kawasan rumah itu sudah dikepung.

“Pemeriksaan menemui satu beg galas hitam di belakang pintu di dalam sebuah bilik mengandungi empat bungkusan plastik cerah berisi 24,000 biji pil kuda.

“Kita turut menemui enam bungkusan berisi 36,000 pil kuda di dalam satu kotak kertas di atas para kayu di tepi dinding bilik sama membabitkan rampasan keseluruhan 60,000 pil kuda seberat 6,926.72 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Turut hadir Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Roslan Tahir.

Aidi berkata, siasatan mendapati suspek baharu sebulan berjinak dalam aktiviti pengedaran dadah dan baru kali pertama membeli barang berkenaan daripada negara jiran.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada suspek bergerak bersendirian atau ada individu lain bersamanya dalam kegiatan berkenaan yang dipercayai untuk pasaran di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku semua pil kuda itu miliknya namun belum menjualnya lagi dan rampasan ini adalah yang terbesar di Terengganu tahun ini.

“Suspek yang positif methamphetamine turut mempunyai dua rekod lampau kerana menyalahgunakan dadah dan dia kini direman tujuh hari sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:16 PM