AHLI Kelab Selam Skuba Kota Bharu Menyelam sambil mengibarkan Jalur Gemilang menjadi kelainan sambutan kemerdekaan.
AHLI Kelab Selam Skuba Kota Bharu Menyelam sambil mengibarkan Jalur Gemilang menjadi kelainan sambutan kemerdekaan.
Siti Rohana Idris


KOTA BHARU: Menyelam di kedalaman 17 meter (m) dan 22m di dua lokasi sambil mengibarkan Jalur Gemilang menjadi kelainan sambutan kemerdekaan bagi 20 ahli Kelab Selam Skuba Kota Bharu.

Selama 30 minit, penyelam skuba ‘berlegar-legar’ di dasar laut dengan Jalur Gemilang di tangan masing-masing sambil menikmati aktiviti sukan itu dan pada masa yang sama merakam momen bersejarah itu untuk kenangan.

Aktiviti berlangsung Sabtu lalu itu dianggap tradisi kelab yang memasuki tahun ketiga mengadakan sambutan sedemikian di Pulau Perhentian, Terengganu.

Wakil kelab, Norhisham Mohamad, 39, berkata, kelainan kali ini adalah lokasi skuba yang dipilih iaitu dua lokasi jarang ‘ditakluk’ penyelam skuba iaitu Serenggeh dan Tokong Laut.

“Seramai 20 ahli kelab terdiri daripada pelbagai latar belakang membuat selaman skuba selama 30 minit sambil memegang Jalur Gemilang di tangan masing-masing.

“Empat Jalur Gemilang bersaiz besar turut dikibarkan bagi menterjemahkan semangat patriotik dalam sukan kegemaran kami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, projek yang dinamakan Merdeka Dive 2019 itu memasuki tahun ketiga dan selain penyelam skuba profesional, ia turut disertai ahli amatur namun tidak mahu melepaskan peluang untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Pendekatan itu akan diteruskan untuk kemerdekaan tahun akan datang dan akan melakukan dengan lebih mencabar lagi.

“Mungkin kami mencari lokasi menyelam baharu dan lebih dalam yang belum diteroka penyelam lain lagi.

“Di Kelantan sendiri banyak lokasi yang boleh dijalankan aktiviti selaman skuba yang menarik dan mempunyai hidupan laut seperti batu karang yang sangat cantik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:00 AM