Latheefa Koya (tengah) bersama peserta di Kuala Terengganu hari ini. FOTO Rozainah Zakaria
Latheefa Koya (tengah) bersama peserta di Kuala Terengganu hari ini. FOTO Rozainah Zakaria
Mohd Aizat Shamsuddin


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia melakukan siasatan terhadap masalah teknikal dan gangguan sistem yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jika ada unsur salah laku dan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, setakat ini belum ada aduan diterima pihaknya dan melihat masalah yang berlaku lebih kepada isu teknikal.

“Setahu saya, kami belum dapat apa-apa aduan membabitkan salah laku dan rasuah dalam isu masalah sistem di KLIA. Sekiranya ada aduan kami akan maklumkan.

“Jadi buat masa sekarang, tiada keperluan kerana masalah gangguan sistem itu membabitkan isu teknikal,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Bersama Industri Hotel dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Kuala Terengganu hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Primula Beach Hotel merangkap Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Terengganu, Suaibah Harun dan Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan.

Rabu lalu, terminal KLIA mengalami gangguan sistem yang menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Masalah itu menyebabkan kelewatan dan penangguhan penerbangan yang menjejaskan lebih 60,000 penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:08 PM