LOY Sian (tiga dari kanan) membuang sampah selepas Majlis Perasmian Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula 'Go Green With 3R' di Taman Impian Setia, Kajang. Turut kelihatan, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Rosli Othman (dua dari kanan). FOTO Azhar Ramli
LOY Sian (tiga dari kanan) membuang sampah selepas Majlis Perasmian Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula 'Go Green With 3R' di Taman Impian Setia, Kajang. Turut kelihatan, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Rosli Othman (dua dari kanan). FOTO Azhar Ramli
Amir Abd Hamid


PEMBANGUNAN projek insinerator moden ‘Waste-To-Energy’ (WTE) di pusat pelupusan sampah di Jeram dijangka menjadikan Selangor sebagai negeri peneraju pelestarian tenaga daripada sisa pepejal di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata, dua projek di Jeram membabitkan kelulusan RM500 juta peruntukkan daripada kerajaan negeri itu dijadikan permulaan sebelum diperluaskan.

Beliau berkata, projek WTE akan dimulakan dalam masa terdekat itu bukan saja mampu menghasilkan tenaga daripada sisa sampah malah penyelesaian kepada masalah tapak pelupusan sampah terbuka.

“Kita sudah tiada lagi tapak pelupusan sampah yang sesuai dan jika ada sekali pun akan ada masalah seperti pencemaran air berikutan limpahan atau aliran ‘leachate’ meresap di bawah tanah.

“Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersama syarikat dari Chengdu, China untuk projek ini yang menggunakan teknologi Jerman dan Jepun dengan mengikut 100 peratus piawaian Eropah.

“Pada masa akan datang, sampah tidak akan dibuang lagi ke tapak pelupusan sebaliknya masukkan ke WTE untuk dibakar dan ditukar kepada tenaga sebelum disalurkan untuk kegunaan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula (3R) Tahun 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) anjuran bersama Persatuan Penduduk Taman Impian Setia, Saujana Impian, hari ini.

Loy Sian berkata, projek ketiga WTE di Selangor akan dilaksanakan di Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Duabelas di Kuala Langat.

“Kita mesti mengorak langkah. Pencemaran tanah di tapak pelupusan terbuka mengambil berpuluh tahun untuk pulih hingga menjadi masalah kepada kita.

“Ada pihak tidak setuju khuatir insinerator mencemarkan udara namun perlu difahami gas merbahaya boleh dihuraikan dalam suhu melebihi 850 darjah celsius.

“WTE akan dibina ini membakar sehingga 950 darjah celsius dan 1,000 darjah celsius setiap hari tanpa mengeluarkan asap. Singapura, Jepun dan London boleh terima insinerator, saya rasa masyarakat kita juga boleh terima. Penerangan mengenai WTE akan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:46 PM