ROSOL (kanan) bersama pesara tentera, Abdullah Ismail, 65, pada Majlis Hi-Tea Bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Hulu Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
ROSOL (kanan) bersama pesara tentera, Abdullah Ismail, 65, pada Majlis Hi-Tea Bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Hulu Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar

KERAJAAN Persekutuan dicadang mempertimbangkan bayaran khas atau ‘one-off’ dan elaun bulanan kepada semua bekas anggota tentera pada pembentangan Bajet 2020, Oktober depan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, bayaran khas dan elaun bulanan itu dicadangkan sebagai penghargaan kepada semua bekas tentera atas pengorbanan dilakukan untuk menjaga keamanan negara.

“Kita bukan sahaja menyokong penuh cadangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) untuk meminta kerajaan mempertimbangkan bayaran khas kepada semua bekas tentera, tetapi jika kemampuan kewangan mengizinkan, kita juga mencadangkan kerajaan memberi elaun tetap bulanan kepada bekas anggota tentera yang tidak berpencen,” katanya.

Rosol berkata demikian ketika ditemui pada majlis bersama PVATM cawangan Hulu Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, Rosol turut menyampaikan anugerah tokoh veteran kepada empat bekas anggota tentera iaitu Yunus Majid, Abdullah Ismail, Salihudin Ahmad dan Abdul Aziz Maula.

Sementara itu ketika mengulas mengenai penghinaan beberapa pihak kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebelakangan ini, Rosol berkata, individu yang menghina pasukan keselamatan itu boleh dianggap sebagai petualang dan buta sejarah.

“Individu termasuk pemimpin yang menghina tentera bukan sahaja tidak mengenang jasa atas pengorbanan dilakukan pasukan keselamatan negara, malah tidak bersyukur dengan keamanan negara.

“Kerajaan perlu bertegas dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas ahli perniagaan yang menghina ATM dengan mendakwa anggota tentera di negara ini hanya makan dan tidur adalah keterlaluan,” katanya.

Isnin lalu, seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin dipanggil untuk memberi keterangan kira-kira dua jam setengah berhubung kenyataan dalam laman blognya yang didakwa menghina ATM.

Yew Yin yang juga pengasas syarikat Gamuda Berhad dan pemilik IJM Corporation melalui laman blognya dilaporkan menulis mengenai anggota tentera di negara ini yang hanya ‘makan dan tidur’ serta hanya menembak di lapangan sasar, dan menyarankan mereka ditugaskan membantu sektor perladangan yang banyak mengambil tenaga kerja warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 11:03 AM