GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norizuan Shamsuddin


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai kerajaan negeri hasil serbuan di sekitar Terengganu, semalam.

Sumber berkata, tiga suspek berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan susulan kes disiasat pasukan petugas khas ditubuhkan SPRM bagi meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Mereka didapati menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi selain disyaki terbabit dengan rasuah.

“Susulan itu, tiga suspek ditahan SPRM di sekitar negeri ini semalam untuk membantu siasatan.

“Proses reman terhadap semua suspek sudah dilakukan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga pegawai kerajaan terbabit.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya yang enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Sebelum ini, SPRM menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti pendedahan LKAN sebelum sebarang tindakan diambil sekiranya terdapat unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya diberikan taklimat dan menerima laporan penuh berhubung LKAN 2018 Siri 1 itu yang dikeluarkan pada 15 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:59 PM