Rizanizam Abdul Hamid


DUA beranak didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka di Ayer Keroh atas sembilan pertuduhan menipu dan menerima wang berjumlah lebih setengah juta ringgit, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Koh Pueh Lye, 54, dan anak perempuannya, Koh Sing Yee, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan dan Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan satu hingga kelima, penjual madu dan produk herba itu didakwa menerima deposit daripada orang awam berjumlah keseluruhan RM520,500 tanpa suatu lesen sah yang diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Dakwaan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keenam sehingga ke sembilan tertuduh didakwa dengan curangnya menipu, mendorong dan memperdayakan empat daripada lima mangsa sama dengan menawarkan pelaburan tidak wujud hingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang mereka.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sekitar Melaka Tengah, antara Oktober 2016 hingga Ogos 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan Mazuin Hashim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ishak Kari.

Mahkamah kemudian bersetuju membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM170,000 setiap seorang dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 1:47 PM