AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah pada istiadat pertabalan di Istana Negara, 30 Julai lalu. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah pada istiadat pertabalan di Istana Negara, 30 Julai lalu. FOTO Bernama
Siti A’isyah Sukaimi


YANG di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan Lawatan Negara ke Brunei Darussalam, esok hingga Selasa ini.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar, Lawatan Negara ini yang pertama oleh baginda selepas ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI pada 30 Julai lalu.

“Yang di-Pertuan Agong akan diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Rombongan Lawatan Negara ini turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah selaku Menteri Pengiring, serta pegawai kanan dari Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

“Semasa Lawatan Negara ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan oleh Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, ketika Majlis Menghadap, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan untuk menganugerahkan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (DKMB) iaitu bintang kebesaran tertinggi Brunei kepada Yang di-Pertuan Agong dan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK) kepada Raja Permaisuri Agong.

“Manakala, Yang di-Pertuan Agong akan menganugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha,” katanya.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan untuk menghadiri Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di Brunei dan dijadualkan untuk melawat beberapa tempat bersejarah dan jabatan kerajaan di Bandar Seri Begawan.

“Lawatan Negara ini merupakan lawatan istimewa yang dapat merapatkan lagi hubungan sedia akrab kedua-dua negara yang banyak berkongsi nilai Islam dan budaya Melayu sejak sekian lama.

“Lawatan Negara ini juga mengenang kembali lawatan bersejarah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah merupakan Yang di-Pertuan Agong yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Brunei sebaik sahaja negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1984,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 1:51 PM