FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad


TIMBALAN Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, hari ini, meminta semua lapisan masyarakat memahami peranan dan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tanpa mengira latar belakang dan ekonomi, semua pihak sama ada tentera mahupun orang awam diminta berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya menulis panjang lebar mengenai peranan ATM dan bagaimana wujudnya persepsi salah berkaitan peranan mereka serta salah faham orang ramai mengenai tugas ketenteraan.

“Pada masa aman, ATM mempunyai peranan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi antarabangsa. Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara.

“Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’ bermaksud jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan. Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan ATM sebagai pilihan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut kesal dengan salah faham tulisan Koon Yew Yin dan mantan Menteri Besar Sabah, Tan Sri Harris Salleh.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia untuk berusaha memahami peranan dan pengorbanan ATM dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama menghayati pengorbanan ATM demi mengekalkan keamanan dan mengisi kemerdekaan yang kita kecapi. Beri sokongan penuh kepada ATM,” katanya.

Terdahulu beberapa portal berita tempatan melaporkan, ahli perniagaan, Koon Yew Yin mendakwa jumlah penjawat awam terlalu ramai menyebabkan kerajaan menanggung beban perbelanjaan tinggi, sekali gus mengurangkan pendapatan kerajaan.

Dia turut mencadangkan kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi mengimbangi situasi dihadapi antaranya tidak mengambil pekerja baharu bagi mengurangkan bebanan sektor perkhidmatan awam.

“Kerajaan perlu menyemak senarai pekerja di jabatan kerajaan dan memecat pekerja yang tidak diperlukan. Anggota tentera seperti yang kita ketahui, hanya makan dan tidur sahaja.

“Majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran. Sepatutnya mereka digunakan untuk ganti pekerja asing yang diupah di ladang FELDA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 11:05 PM