ALIRAN trafik perlahan di simpang empat lampu isyarat bandar Gua Musang menghala ke Jalan Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim
ALIRAN trafik perlahan di simpang empat lampu isyarat bandar Gua Musang menghala ke Jalan Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

“ALIRAN trafik perlahan menyebabkan kami mengambil masa 10 jam dari Kuala Lumpur untuk tiba ke Gua Musang,” kata Hasbullah Halim, ketika ditemui di Gua Musang, hari ini.

Hasbullah, 43, antara ribuan pengguna jalan raya terbabit dalam kesesakan lalu lintas untuk pulang menyambut Aidiladha di kampungnya di Pasir Mas, melalui Jalan Kuala Lumpur-Bentung dan Kuala Lipis-Gua Musang.

Katanya, dia terpaksa memandu dalam keadaan bersabar berikutan laluan trafik bagi semua jalan utama perlahan sejak malam tadi, namun masih berjalan lancar tanpa ada sebarang kejadian kemalangan.

“Kalu nak ikutkan masa, saya bertolak dari Kuala Lumpur pada 1 pagi lagi dan sampai untuk berehat sebentar di bandar ini, 11 pagi ini.

“Apapun, kami bersyukur apabila tiba dengan selamat di bandar ini dan tak tahu berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di kampung di Pasir Mas,” katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Fuzan Abdullah, 41, berkata, perjalanan Aidiladha kali ini tidak seteruk Adilfitri lalu.

Katanya, perjalanan ketika pulang menyambut Aidilfitri baru-baru ini mengambil masa hampir 15 jam tidak termasuk masa berhenti rehat.

“Kadang-kala kena fikir panjang untuk menyambut hari raya bersama keluarga di kampung kerana masa perjalanan terlalu lama berbanding hari biasa yang hanya ambil masa empat jam untuk ke Gua Musang.

“Selepas ini sudah tentu kena hadap perkara sama untuk pulang semula ke Kuala Lumpur,” katanya yang dalam perjalanan ke kampung di Tumpat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan laluan trafik Gua Musang-Kuala Lipis dan Kuala Krai perlahan.

“Selain laluan itu, pengguna juga boleh memilih laluan lain termasuk Lojing-Gua Musang dan Jeli yang didapati kurang berlaku kesesakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 2:49 PM