Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


LELAKI warga Britain berusia 56 tahun ditemui mati dalam tandas bilik di sebuah hotel di Presint 1, Putrajaya petang semalam.

Mayatnya ditemui oleh penyelia hotel berkenaan pada 4.51 petang yang masuk ke bilik itu untuk memeriksa selepas diminta rakan setugas mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Putrajaya Superintendan S Vijaya Rao berkata, rakan setugas mangsa mendakwa lelaki itu tidak menjawab panggilan telefon dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantarnya kira-kira 2 petang.

Menurutnya, rakan mangsa kemudiannya minta bantuan kakitangan hotel untuk membuka pintu bilik lelaki berkenaan kerana ia berkunci dari dalam sebelum mayatnya ditemui.

"Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa menginap di hotel itu sejak 4 Ogos lalu kerana menghadiri satu program kepimpinan dalam kerjaya anjuran Petronas Management Training selama lima hari.

“Berdasarkan maklumat, mangsa adalah jurulatih kanan untuk program terbabit.

"Kami mendapati tiada sebarang elemen jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa.

“Kami juga menjumpai alat penyukat tekanan darah serta ubat-ubatan dalam kuantiti yang banyak dalam bilik hotel mangsa," katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya juga memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

Vijaya berkata, pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut membantu pihak polis dengan menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, proses bedah siasat akan dibuat pada hari ini untuk mendapatkan punca sebenar kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 12:34 AM