KERATAN laporan terdahulu.
KERATAN laporan terdahulu.
Rizanizam Abdul Hamid


PENDAKWAH bebas, Wan Ji Wan Hussin yang disiasat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pagi hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Syariah Melaka atas tuduhan berceramah tanpa tauliah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Datuk Rahimin Bani berkata, Wan Ji, 37, dibawa ke mahkamah sejurus siasatan ke atasnya selesai pada 12.30 tengah hari.

Katanya, pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 70 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Dalam prosiding itu, Hakim Ahmad Lakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan beliau membayar jaminan itu pada 3 petang.

“Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rahimin berkata, terdahulu pihaknya menyiasat pendakwah itu kerana memberi ceramah tanpa tauliah ketika kuliah Subuh di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang pada 14 Julai lalu.

“Saya harap, tiada pihak yang mengganggu proses ini terutamanya penyokong Wan Ji kerana beliau sendiri beliau memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan,” katanya.

Berita berkaitan

Ceramah tanpa tauliah, Wan Ji ditahan JAIM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:16 PM