Annuar (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan wang tunai dan barang rampasan daripada sindiket along ketika sidang media di IPD Kuala Muda har ini. Foto Muhammad Mustakim Ramli
Annuar (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan wang tunai dan barang rampasan daripada sindiket along ketika sidang media di IPD Kuala Muda har ini. Foto Muhammad Mustakim Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


SINDIKET ceti haram atau along yang berpusat di sekitar Sungai Petani lumpuh apabila 16 orang termasuk dalangnya ditahan polis, semalam.

Sindiket yang aktif menjalankan kegiatan di seluruh Kedah itu serta Perlis, Pulau Pinang dan Perak itu ditahan dalam serbuan di lapan rumah oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sekitar Sungai Petani pada 8.30 pagi.

Ketua JSJK Kedah Superintendan Annuar Abd Muluf berkata, serbuan yang turut dibantu pasukan JSJK Bukit Aman itu menahan 14 lelaki dan dua wanita berusia 15 hingga 49 tahun itu.

Menurutnya, sindiket itu diburu polis susulan laporan yang diterima pihaknya membabitkan 23 mangsa.

“Sindiket terbabit aktif sejak dua tahun setengah yang lalu dengan mengenakan faedah pinjaman 10 hingga 15 peratus dengan menawarkan bayaran secara mingguan atau bulanan berdasarkan jumlah diambil peminjam.

“Sekiranya mangsa gagal membuat bayaran seperti yang dijanjikan, sindiket itu akan menggunakan kekerasan dengan cara menghantar nota ugutan dan menyimbah cat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani hari ini.

Annuar berkata, berdasarkan maklumat diperolehi didapati mangsa along berkenaan terdiri daripada pekerja swasta, kakitangan kerajaan, peniaga kecil, peruncit dan pekerja kilang dengan pinjaman membabitkan RM1,000 hingga RM50,000 setiap seorang.

“Semua mangsa yang membuat laporan mengenainya tidak dicederakan tetapi mereka menerima ugutan selain disimbah cat.

“Berdasarkan buku nota peminjam yang dirampas, dianggarkan lebih 100 individu membuat pinjaman dengan sindiket ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga turut merampas lapan kereta, 28 telefon bimbit, wang tunai lebih RM18,000 termasuk wang tunai dalam mata wang Singapura dan tiga pedang samurai.

“Barang rampasan yang dilakukan dianggarkan bernilai RM2.5 juta dan kini kesemua suspek direman selama empat hari hingga Isnin ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 7:10 PM