ANGGOTA PERHILITAN Jeli memasang perangkap menggunakan umpan cempedak memerangkap beruang matahari. FOTO IHSAN PERHILITAN KELANTAN
ANGGOTA PERHILITAN Jeli memasang perangkap menggunakan umpan cempedak memerangkap beruang matahari. FOTO IHSAN PERHILITAN KELANTAN
Muhamaad Razis Ismail


SEEKOR beruang matahari dikesan berkeliaran di kebun di Kampung Reka dan Kampung Timur di Kuala Balah, Jeli, sejak minggu lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung pada 31 Julai lalu.

Katanya, penduduk bimbang apabila mendakwa haiwan liar itu berkeliaran di kawasan kebun mereka, sekali gus menimbulkan ketakutan dan mengancam keselamatan mereka.

“Susulan aduan, empat anggota Pejabat PERHILITAN Jeli ke lokasi aduan penduduk itu.

“Anggota melakukan pemeriksaan dan memasang perangkap menggunakan umpan cempedak masak,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan, haiwan ini keluar dari hutan untuk mendapatkan makanan di kebun penduduk kerana musim buah.

“Pemantauan berterusan anggota Pejabat PERHILITAN Daerah Jeli sedang dilakukan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, peneroka di Rancangan Tanah FELDA Perasu, Gua Musang, turut berdepan masalah sama apabila seekor beruang matahari ditemui merayau di kawasan penempatan mereka sejak minggu lalu.

Penduduk terpaksa membawa parang ketika memasuki ladang sawit bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 1:47 PM