ANGGOTA bomba memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Nor Farhani Che Ad


LIMA penghuni rumah sewa tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Ria Jaya, Sungai Petani malam semalam.

Kejadian berlaku pada 7.40 malam, menyebabkan barangan peribadi seperti komputer riba dan beberapa dokumen penting milik penghuni hangus.

Ketika kejadian, semua mereka tiada di rumah kerana bekerja. Dua rumah bersebelahan turut terjejas.

Endang Sinmin, 30, berkata, dia baru pulang dari tempat kerja apabila melihat kepulan asap di dalam rumahnya.

“Saya menyangka ada jiran yang bakar sampah di luar rumah, namun kepulan asap di dalam rumah semakin menebal.

“Apabila saya periksa, saya nampak api di atas bumbung di bahagian ruang tamu, ketika saya keluar dari rumah untuk selamatkan diri, saya lihat rumah sebelah hangus sudah terbakar,” katanya, hari ini.

Sementara itu, pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Pegawai Bomba (PB) Nor Azizan Ramil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.55 malam dan sepasukan anggota dibantu BBP Sungai Petani ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan tiga rumah yang mana rumah di bahagian tengah mengalami kerosakan hampir 90 peratus, manakala dua lagi rumah rosak 20 peratus.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 9:03 AM