KEADAAN jari manis tangan Kamarul yang putus. FOTO Hadzlihady Hassan
KEADAAN jari manis tangan Kamarul yang putus. FOTO Hadzlihady Hassan
Hadzlihady Hassan


“SELEPAS mengangkat motosikal itu, saya rasa ngilu pada jari dan lihat ia sudah putus,” kata Koperal Kamarul Norau, 35.

Kamarul memberi reaksi itu untuk menceritakan kembali insiden jari manis tangan kanannya yang putus selepas tersangkut brek cakera sebuah motosikal yang ditinggalkan di persimpangan lampu isyarat Spice Arena, Bayan Baru, Georgetown, malam Selasa lalu.

Menurutnya, dia ketika itu bersama tiga rakan setugas sedang mengangkat motosikal terbabit yang ditinggal dua suspek selepas mereka dikejar kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut anggota polis ketika ditahan dalam Op Ice Breaker.

“Saya ketika itu sedang mengangkat bahagian hadapan tayar motosikal berkenaan untuk dimuatkan dalam van dan selepas selesai saya lihat jari manis sudah putus.

“Melihatkan keadaan itu, saya memberitahu rakan-rakan setugas dan turut membalut bahagian jari yang putus menggunakan baju sebelum dibawa ke klinik oleh rakan,” katanya yang bertugas di Balai Polis Bayan Baru.

Kamarul berkata, dia di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menjalani pembedahan semalam, namun doktor memberitahu yang jarinya itu tidak dapat disambung semula.

Anbalagan yang melawat Kamarul. FOTO Ihsan Polis
Anbalagan yang melawat Kamarul. FOTO Ihsan Polis

Dia kini masih berada di wad lelaki di HPP dan turut menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan yang membuat lawatan 1 tengah hari, hari ini.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, sepasukan polis pada mulanya terserempak dengan dua lelaki yang menaiki Yamaha 135LC hitam dalam keadaan mencurigakan di Lorong Mahsuri 10, Bayan Baru dan cuba menahan mereka.

Bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit terus memecut hingga memaksa anggota polis mengejar dan mereka turut mengeluarkan kata kesat serta isyarat lucah dan mengugut mahu membunuh anggota polis berkenaan.

Mereka kemudiannya meninggalkan motosikal berkenaan di persimpangan lampu isyarat dan terus melarikan diri.

Sementara itu, Anbalagan berkata, seorang daripada suspek berjaya ditahan 4.50 pagi, Rabu lalu ketika dia berada di sebuah restoran di Jalan Tingkat Kenari, Sungai Ara.

Menurutnya, suspek yang berusia 38 tahun dan juga pemilik motosikal terbabit pada mulanya cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Bayan Baru dan hasil pemeriksaan lanjut kita menemui kunci yang sepadan dengan motosikal yang ditinggalkan sebelum itu.

“Lelaki terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 509 KK,” katanya.

Difahamkan, seorang lagi lelaki yang juga pembonceng motosikal berkenaan kini masih diburu polis.

Anbalagan  menyerahkan buah tangan kepada Kamarul. FOTO Ihsan Polis
Anbalagan menyerahkan buah tangan kepada Kamarul. FOTO Ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 4:28 PM