FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah memerlukan peralatan canggih termasuk dron bagi melaksanakan tugas dengan lancar dan berkesan di pintu sempadan.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, dron antara peralatan baharu yang menjadi keperluan jabatan itu untuk memantau aktiviti penyeludupan.

Menurut Johari, pihaknya akan membuat permohonan kepada kerajaan bagi memperoleh dron termasuk penambahan mesin pengimbas di pintu sempadan dan bot marin baharu yang berteknologi tinggi.

“Kita memerlukan semua peralatan ini bersesuaian dengan geografi (bentuk muka bumi) negeri yang mempunyai laluan laut, udara dan darat yang luas.

“Memang diakui peralatan kita tidak cukup, jadi kita perlu memohon peralatan ini yang kita anggap sangat penting dan dapat membantu kita melaksanakan tugas seterusnya mengelak berlaku ketirisan hasil negara.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut berapa jumlah dron, mesin pengimbas dan bot marin yang kita perlukan...semua ini bergantung kepada kemampuan kerajaan menyediakan peruntukan membeli peralatan berkenaan,” katanya ketika sidang media di Pejabat JKDM Cawangan Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar bahawa kerajaan mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun disebabkan kebocoran hasil di pintu masuk negara.

Johari berkata, pihaknya menyambut positif kenyataan itu dan menggariskan beberapa tindakan serta cadangan mengelak daripada berlaku ketirisan.

Katanya, ia termasuklah menyenaraikan nama syarikat atau individu yang melanggar undang-undang mengikut Akta Kastam khususnya Seksyen 133 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Kita juga perlu tingkatkan tahap integriti anggota dan pegawai selain tidak menempatkan mereka terlalu lama di sesuatu tempat yang berisiko tinggi.

“Malah pertukaran maklumat antara agensi penguat kuasa lain akan diperkukuhkan termasuk dengan negara jiran...dalam masa sama, kastam turut memberi pemahaman dan rundingan dengan pemain industri bagi mengekang ketirisan atau kebocoran hasil negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 4:06 PM