RAVINDER (duduk, tiga dari kanan) menunjukkan rajah rumah kos sederhana rendah yang dijual dengan harga murah pada mulanya kemudian bertukar menjadi mahal pada sidang media di pejabat CAP di Georgetown. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
RAVINDER (duduk, tiga dari kanan) menunjukkan rajah rumah kos sederhana rendah yang dijual dengan harga murah pada mulanya kemudian bertukar menjadi mahal pada sidang media di pejabat CAP di Georgetown. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Zuhainy Zulkiffli


KIRA-KIRA 50 pembeli rumah kos sederhana rendah di Tanjung Tokong, dekat sini, berasa tertipu dengan harga yang ditawarkan pemaju.

Hakikatnya, mereka perlu bayar sehingga RM130,000 harga rumah terbabit iaitu hampir sekali ganda daripada yang ditawarkan, tidak termasuk kemudahan parkir dan beberapa utiliti lain.

Malah, pemaju juga didakwa mengenakan bayaran tambahan tanpa pengetahuan dan tidak merujuk kepada pembeli.

Pembeli rumah terbabit, Erman Kamal Mustafa Kamal, 34, berkata, dia menerima tawaran pembelian rumah berkenaan daripada Bahagian Perumahan Negeri pada Disember 2016 dengan harga yang ditawarkan pemaju iaitu RM72,500 seunit.

Dia kemudian dihubungi wakil pemaju dan mendakwa perlu menambah bayaran kira-kira RM30,000 dengan memilih satu daripada dua pakej yang ditawarkan iaitu pengubahsuaian rumah atau lot parkir.

“Selepas menduduki rumah itu pada tahun lalu, hanya lantai saja yang diubah suai dengan pemasangan jubin selain tiada dapur, kabinet atau pintu berpagar seperti yang disangka.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM20,000 bagi mengubah suai dapur serta beberapa utiliti lain,” katanya kepada media ketika ditemui, semalam.

Erman Kamal antara sebahagian daripada pembeli yang membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Jalan Masjid Negeri berikutan helah penjualan rumah oleh pemaju.

Katanya, helah pemaju itu diketahui selepas pembeli lain mula menduduki perumahan terbabit dan didapati harga setiap unit juga berbeza, malah ada yang lebih murah.

DARI kiri: Nor Nazirah dan Erman
DARI kiri: Nor Nazirah dan Erman

Pembeli juga perlu membayar tambahan antara RM1,000 hingga RM15,000 bagi setiap aras yang dipilih, pilihan unit tepi (RM8,000), bayaran guaman dan pembayaran perjanjian jual beli (RM1,300) serta satu lagi bayaran guaman dan kemudahan perbankan (RM3,200).

Bagi Nor Nazirah Sudin, 34, pemaju hanya membenarkan pembeli melihat unit rumah masing-masing selepas pinjaman bank diluluskan.

“Saya menunggu selama 12 tahun bagi membeli rumah baru dan sepatutnya ia menjadi detik gembira buat kami, tetapi kini bertukar derita kerana perlu menanggung bayaran pinjaman bulanan yang tinggi.

“Banyak kerosakan seperti keretakan, kebocoran pada tandas dan dapur, malah keseluruhan perumahan itu amat tidak memuaskan,” katanya yang terpaksa membayar RM182,000 selepas dipaksa pemaju mengambil pakej bersama tempat letak kereta dan ubah suai rumah.

Projek perumahan kos sederhana rendah yang ditawarkan kepada pembeli itu mempunyai 20 tingkat menempatkan 142 unit rumah dengan setiap unit mempunyai tiga bilik dan dua bilik air.

Sementara itu, Ketua Unit Aduan CAP, Ravinder Singh berkata, perkara itu satu penindasan kepada pembeli dan tindakan tegas perlu diambil pihak kerajaan negeri.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai pilihan lain sama ada menerima tawaran pemaju atau unit mereka diberi kepada pembeli lain.

“Helah yang dikenakan pemaju amat tidak bertanggungjawab dan kerajaan negeri jangan lepas tangan dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, wakil pemaju terbabit ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan perlu menyemak semula aduan seperti yang didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:01 AM