KHIRUDIN bersama Pengurus Besar Airport Fire and Rescue Services Malaysia Airport, Abdul Malik Mohd Yunus (kanan) beramah mesra bersama pegawai bomba bantuan selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan STOLPORT Lawas. FOTO Hazreen Mohamad

Mohd Roji Kawi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersedia mewujudkan pasukan khusus untuk melaksanakan misi mencari dan menyelamat di gunung serta gua.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) itu akan ditempatkan di lokasi tumpuan pelancong seperti di Taman Negara Mulu.

Beliau berkata, pasukan itu akan disertai anggota berkemahiran khas daripada Multi Skill Team (MUST), Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Menyelamat (STORM) serta Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan khas memang perlu ditempatkan di lokasi tumpuan ramai yang jauh dari balai utama, bagi membolehkan tindakan segera dilaksanakan jika berlaku kecemasan.

“Beberapa insiden seperti pelancong sesat, cedera ketika mendaki, terjatuh ke dalam gaung biasa berlaku di kawasan gunung dan terbaharu dua maut di dalam gua di Mulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) STOLPORT Lawas di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di Kuching, semalam.

KHIRUDDIN dan Pengurus Besar Airport Fire and Rescue Services Malaysia Airport, Abdul Malik Mohd Yunus bersama sembilan pegawai bomba yang menerima sijil pada Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan STOLPORT Lawas. FOTO Hazreen Mohamad

Sembilan PBB menamatkan latihan asas kebombaan dan akan ditempatkan di Lapangan Terbang Lawas yang hanya mengendalikan pesawat kecil.

Mengulas lanjut, Khirudin berkata, kebanyakan lokasi eko pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong terletak jauh di pedalaman dan sukar bagi bagi pasukan penyelamat dikerah ke lokasi dalam kadar segera.

“Daripada kita terpaksa menempuh perjalanan 12 jam ke lokasi, lebih baik kita tempatkan anggota di kawasan itu.

“Dalam insiden di Mulu baru-baru ini, helikopter pun tidak dapat beroperasi ke kawasan itu kerana cuaca buruk, justeru pasukan khas seperti MoSAR memang perlu diwujudkan di negeri ini,” katanya.

MoSAR ditubuhkan di Sabah pada 2015 susulan insiden gempa bumi yang mengorbankan 18 pendaki dan 10 lagi cedera di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 9:07 AM