RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mengekori motosikal pasangan warga emas sebelum meragut beg wanita terbabit. FOTO IHSAN PEMBACA
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mengekori motosikal pasangan warga emas sebelum meragut beg wanita terbabit. FOTO IHSAN PEMBACA
Muhamaad Razis Ismail


SEORANG wanita warga emas patah bahu kanan manakala suaminya cedera ringan selepas diragut seorang penunggang motosikal di Jalan Besar Kota Bharu-Pasir Puteh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, Bidah Idris yang membonceng turut cedera di lutut selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangi suaminya, Tuan Zahari Engku Daud.

Kejadian turut menyebabkan lelaki warga emas berkenaan turut cedera di kaki dan bahu.

Kedua-dua mangsa berusia 79 tahun kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk rawatan sebelum wanita itu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Kampung Raja Limbongan menuju ke Pondok Yaakob Sama, Pasir Puteh.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang penunggang motosikal dari arah belakang meragut beg tangan disandang pada bahu kanan wanita.

“Suspek kemudian terus memecut motosikalnya menuju ke Kampung Padang Pak Amat bersama beg tangan berisi dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM1,000.

“Akibat rentapan kuat, mangsa bersama suaminya terjatuh di jalan. Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, rakaman percakapan mendapati mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai runcit berhampiran hanya dapat melihat pergerakan motosikal suspek.

“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 7:44 PM