Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SELEPAS direman atas tuduhan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, suspek ‘Mie Tomoi’ direman lagi tujuh hari bermula hari ini atas tuduhan mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan dengan parang pada September tahun lalu.

Perintah penahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah hari ini.

Suspek yang juga duda berusia 48 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar pada jam 9 pagi tadi dengan menaiki van polis bersama pesalah lain.

Dia dilihat memakai topi, berbaju belang biru dan berseluar hitam dengan keadaan tangan kirinya cedera berbalut ke paras siku.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, suspek yang sebelum ini direman di Arau kini disambung reman di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

“Polis menahan suspek mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap Hazman dengan menggunakan senjata dan melakukan jenayah samun pada tahun lalu.

“Suspek direman sehingga Rabu hadapan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan suspek terakhir yang membakar kereta rasmi Mohd Asri pada Mac berjaya ditahan selepas bersembunyi hampir empat bulan di sebuah rumah di Kuala Ketil, Kedah.

Dia yang direman atas kesalahan berlaku khianat dengan api turut direman atas kesalahan jenayah samun sebelum membuat pengakuan menetak pipi kiri Hazman dengan menggunakan pedang samurai dalam kejadian di kediaman pengarah itu dekat Kampung Guru pada awal September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:12 PM
MIE Tomoi diiringi anggota polis ke Kompleks Mahkamah Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
MIE Tomoi diiringi anggota polis ke Kompleks Mahkamah Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman