Pegawai polis menyoal siasat wanita dalam serbuan polis di kawasan Wisma Indah Jalan Tun Razak, hari ini. Foto Muhd Zaaba Zakeria
Pegawai polis menyoal siasat wanita dalam serbuan polis di kawasan Wisma Indah Jalan Tun Razak, hari ini. Foto Muhd Zaaba Zakeria
Hidayatul Akmal Ahmad


MAK nyah dan 20 wanita yang dipercayai menawarkan khidmat seks ditahan dalam serbuan Ops Noda di kawasan Wisma Indah Jalan Tun Razak, hari ini.

Operasi selama tiga jam bermula jam 8.30 malam dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, seramai 20 wanita masing-masing dari China, Vietnam, Indonesia serta seorang warga tempatan berusia 24 hingga 50 tahun ditahan.

Menurutnya, lima lelaki termasuk dua warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia berusia antara 25 hingga 50 tahun turut ditahan dalam operasi itu kerana dipercayai menjadi penjaga premis.

“Premis berkenaan didapati menjalankan perniagaan aktiviti pelacuran warga asing dengan bayaran antara RM50 hingga RM90 bagi sekali langganan,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan.

Mohd Hedzir berkata, kegiatan itu dipercayai mensasarkan pelanggan warga asing dan tempatan yang bekerja sekitar kawasan Wisma Indah dan Jalan Tun Razak.

Menurutnya, berdasarkan siasatan pelanggan ditawarkan khidmat seks di kali lima Wisma Indah sebelum dibawa ke bilik di kawasan itu.

“Kesemua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan 372 (1)(f) Kanun Keseksaan, 39b Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1)(c) dan 15(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:31 AM