Khairul Najib Asarulah Khan


SUASANA di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur bertukar kecoh apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan operasi terhadap lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI), hari ini.

Dalam operasi bermula 4 petang itu, segelintir PATI bertempiaran lari sehingga sanggup melintas jalan yang sedang sibuk bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Selain itu, ramai yang cuba menyorok di sebalik bangunan hotel dengan ketinggian lebih 100 meter.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu disertai 175 pegawai dan anggota dengan melakukan serbuan di dua lokasi secara serentak iaitu di Jalan Silang dan sebuah hotel di Jalan Pudu.

Beliau berkata, dalam operasi di Jalan Silang, seramai 1,709 individu berusia 21 hingga 45 tahun diperiksa dan setakat ini, 247 ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam serbuan di hotel di Jalan Pudu pula, kami menahan 159 wanita warga asing yang disyaki melakukan perkara menyalahi moral,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi terbabit.

Beliau berkata, proses dokumentasi masih dijalankan kerana tangkapan dilakukan membabitkan jumlah besar.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan dilakukan termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas lawatan.

“Kami akan mempergiatkan operasi ini pada masa hadapan bagi membanteras kebanjiran PATI di sekitar ibu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 8:27 PM