Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin


AMPANG JAYA: Dalam cahaya remang dinihari, kelibat susuk tubuh beberapa ‘wanita’ kelihatan muncul satu persatu ketika jarum di jam tangan wartawan melewati jam 2 pagi.

Rata-rata mereka bertubuh tinggi langsing dengan potongan rambut gaya belah tengah beralun dengan gulungan di hujung untuk tampak kelihatan anggun. Sekali pandang, mereka kelihatan seperti model atau artis.

Masing-masing tampil berbusana skirt sendat sambil tersipu-sipu malu berdiri di balik tiang tembok dan sudut gelap sekitar deretan rumah kedai di Jalan Pandan Indah di sini.

Lirik mata melilau memerhati keadaan sekeliling sambil sesekali menyorok di belakang samar bangunan tatkala sorotan cahaya lampu kereta yang melintasi mengenai mereka.

Adakalanya mereka melambai ke arah remaja atau penunggang motosikal yang berhenti menonton di seberang jalan sambil menghadiahkan senyuman paling menggoda.

Ternyata mereka bukanlah wanita tulen sebaliknya adalah mak nyah yang melakukan migrasi beramai-ramai dari ibu kota ke daerah ini.

Berdasarkan maklumat diperolehi kumpulan antara 10 hingga 20 pondan yang menawarkan khidmat seks ini hanya akan muncul sekitar jam 12 malam hingga awal pagi di lokasi sama setiap hari.

WARTAWAN cuba mendekati  seorang pelacur yang ditemui menawarkan khidmat seks di Jalan Pandan Indah.
WARTAWAN cuba mendekati seorang pelacur yang ditemui menawarkan khidmat seks di Jalan Pandan Indah.

Kehadiran mereka mula disedari awal tahun ini dan jumlahnya semakin meningkat didorong ‘permintaan’ dalam kalangan lelaki bernafsu songsang mendiami kawasan sekitar lokasi.

“Kawasan ini dah jadi Chow Kit nombor dua! Kalau dulu, pelacur pondan hanya boleh jumpa di Chow Kit tapi kini, Pandan Indah jadi ‘sarang’ baharu mereka,” ujar seorang penyewa, Saifullah Abd Karim, 32.

Menurutnya, kawasan itu menjadi meriah dengan kehadiran pelacur tempatan yang didakwa ‘cari makan’ dengan berpeleseran di sepanjang Jalan Pandan Indah 1/23b dan Jalan Pandah Indah 1/23c di sini.

“Pada awalnya hanya sekitar tiga hingga lima pelacur pondan ini. Namun jumlahnya kini mencecah hingga 20 orang pada satu-satu masa.

“Saya tidak pasti mereka datang dari mana. Tetapi mereka bukanlah penghuni atau penyewa di sini. Mereka ‘orang luar’ yang berkeliaran di sini.

“Adakalanya saya malu bila ada kenalan atau saudara mara yang bertandang ke rumah. Mereka terkejut bila terserempak ramai pondan di tangga kediaman.

“Saya harap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), polis atau pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sebelum gejala maksiat ini semakin parah,” katanya.

Sementara itu seorang pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Azmi, 40, berkata, dia kerap mengambil penumpang dalam kalangan golongan ‘lembut’ itu sekitar Cheras dan Sentul sebelum dihantar ke Pandan Indah.

“Biasanya mereka meminta saya mengambil mereka semula sekitar jam lima pagi. Biasanya mereka menaiki teksi berkumpulan dan kebanyakannya adalah mak nyah tempatan,” katanya.

Sementara itu tinjauan wartawan bersama jurugambar mendapati kumpulan pelacur mak nyah itu adalah warga tempatan berdasarkan perbualan ketika mereka dihampiri.

Rata-rata mereka berdiri dalam jarak 10 meter antara satu sama lain di sepanjang jalan itu dan hanya menghampiri pelanggan yang mendekati mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:21 AM
 SEORANG pelacur menunggu pelanggan di kaki lima kedai.
SEORANG pelacur menunggu pelanggan di kaki lima kedai.