GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI warga Myanmar parah selepas ditikam di dada oleh rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Che Teng, Chukai, Rabu lalu.

Dalam kejadian 11.30 tengah malam, lelaki berusia 22 tahun parah pada paru-paru akibat ditikam menggunakan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pergaduhan dipercayai bermula apabila mangsa mengambil telefon bimbit milik suspek berusia 28 tahun sehingga mengakibatkan pergaduhan.

“Dalam pergaduhan itu, mangsa mengambil sebilah pisau sebelum berlaku pergelutan antara mereka dan suspek dikatakan tertikam mangsa.

“Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman, namun dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Mohd Said berkata, mangsa masih berada di HSNZ Kuala Terengganu dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, suspek sudah ditangkap dan kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 3:40 PM