Laporan portal berita Harian Metro kelmarin.
Laporan portal berita Harian Metro kelmarin.
Nurul Fhatihah Zakinan


AIRASIA akan menyambung semula penerbangan Melaka-Pulau Pinang mulai esok susulan penangguhan operasi selepas pesawat yang membawa 132 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam kelmarin.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, ia berikutan operasi peralatan kepunyaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berjaya dibaik pulih dengan penggunaan set jana kuasa bergerak (genset) sementara.

“Prosedur penerbangan juga sudah diluluskan CAAM dan AirAsia dijangka menyambung semula penerbangan ke Melaka mulai esok.

“Saya berharap masalah sebegini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Prosedur dan amalan penyelenggaraan mesti disemak semula selain penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas perjalanan pesawat yang dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang terkandas berikutan masalah sistem navigasi di terminal berkenaan, kelmarin.

Pesawat AK6285 yang sepatutnya berlepas dari lapangan terbang itu 2.50 petang pada hari terbabit terpaksa dibatalkan dan penumpang dibawa menaiki bas ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi menaiki pesawat lain ke Pulau Pinang.

Insiden itu juga menyebabkan operasi penerbangan Melaka-Pulau Pinang ditangguhkan dua hari bermula semalam dan hari ini.

Sementara itu, Mohd Sofi menggesa penguat kuasa berkaitan menjalankan pemeriksaan segera kepada bas yang berusia lebih 10 tahun susulan tragedi murid sekolah meninggal dunia di Pasir Putih akibat terjerlus lantai bas rosak.

“Saya juga menyeru pengusaha bas khususnya di negeri ini untuk memeriksa keadaan bas mereka serta-merta dan membaikinya segera walaupun tempoh pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) masih jauh lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 4:18 PM