SITI Norhidayu bertugas di Bahagian Pentadbiran Bengkel Seri Sembilan, Mambau. FOTO/ Hasriyasyah Sabudin
SITI Norhidayu bertugas di Bahagian Pentadbiran Bengkel Seri Sembilan, Mambau. FOTO/ Hasriyasyah Sabudin
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BIARPUN dirinya orang kurang upaya (OKU),

Siti Norhidayu Idros, 39, tetap bersyukur apabila suaminya, Khairul Kamal Maheran, 32 sudi mengahwininya.

Memiliki kaki cacat ketika berusia dua tahun, ia bukan halangan buat kakitangan Bengkel Seri Sembilan (BS9) di Mambau, Seremban ini untuk meneruskan kehidupan.

Siti Norhidayu bergelar OKU ketika berusia dua tahun selepas mengalami demam panas.

“Sejak itu, kaki kanan saya tidak dapat diluruskan dan kini perlu berkerusi roda. Saya sedar diri serba kekurangan namun ia bukan alasan untuk patah semangat,” katanya.

Disebabkan itu, dia melanjutkan pengajian di pusat latihan di Bangi, Selangor bagi mempelajari bidang jahitan.

KELUARGA Siti Norhidayu di sisi suami, Khairul Kamal dan anak mereka, Mohd Faiz Izzuddin. FOTO/ Hasriyasyah Sabudin
KELUARGA Siti Norhidayu di sisi suami, Khairul Kamal dan anak mereka, Mohd Faiz Izzuddin. FOTO/ Hasriyasyah Sabudin

“Saya mula mengunjungi BS9 pada 2009 dan bekerja menjahit pakaian. Hanya beberapa bulan berkhidmat, saya dipindahkan ke bahagian pentadbiran,” katanya yang ditemui di bengkel berkenaan.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, pada 2014 dia mengenali suaminya yang juga anggota tentera di kem Rasah.

“Dalam perkenalan itu, suami menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya. Saya sedar diri ini OKU manakala suami normal.

“Saya bertanyakan pada suami, sudikah dia menerima keadaan saya, dia nyatakan bersedia,” katanya.

Menurutnya, keluarga mertuanya di Melaka juga sudi menerima keadaan fizikalnya dan ia amat disyukuri.

“Alhamdulillah, hasil perkahwinan, kami memiliki seorang anak lelaki bernama Mohd Faiz Izzuddin yang kini berusia empat tahun,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:51 PM