GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


MAYAT lelaki dalam keadaan mereput dan berbau ditemui di perangkap sampah di Batu 8, Ijok, Kuala Selangor, semalam.

Mayat yang belum dikenal pasti identitinya sebelum itu ditemui orang awam dalam sungai dan dibawa arus berhampiran jambatan Bukit Cherakah, Alam Perdana, kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, pihaknya bersama bomba mengambil keputusan menunggu di perangkap sampah untuk menaikkan mayat.

“Kira-kira 8 malam, mayat berjaya dinaikkan ke darat dengan jarak lebih kurang 100 meter dari tempat perangkap sampah.

“Pemeriksaan mendapati tiada dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan selain tidak berbaju dan hanya berseluar pendek berwarna biru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Md Asri berkata, mayat lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, tiada luka dikesan pada mayat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kita percaya mayat berkenaan dibawa arus dari tempat lain dan orang ramai yang kehilangan saudara mara boleh hadir ke bilik mayat HTK untuk membuat pengecaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:06 AM